Monday 14 January 2013

kamu tetap istimewa....2

          Semalam aku bercakap tentang bila aku ditinggalkan. Bagaimana aku masih mampu untuk tidak berdendam, tidak membenci, tidak merasa diriku seolah-olah tidak bernilai lagi. Bahawa aku masih utuh menyayangi walaupun aku ditolak ketepi.
          Padaku itu semua kisah-kisah jalan hidup yang aku harus tempuhi. Kerana jalan itu adalah jalan yang aku sendiri pilih semasa aku belum lagi hadir di dunia ini. Aku yakin dengan takdir. Aku yakin dengan janji Allah. JanjiNya yang aku tidak akan sesekali dibebankan dengan apa saja yang aku tidak dapat menangani.
          Janji inilah yang aku pegang. Allah tidak akan sesekali menipuku. Dia yang menciptaku. Tentu sekali Dia sayang padaku. Dan Dia juga telah dengan terang lagi bersuluh mengatakan bahawa Dia sentiasa ada disisiku. Tanpa lelah. Tanpa jemu. Tanpa menghukum....selagi aku belum berdiri didepanNya disuatu waktu yang pasti akan tiba.
          Ini semualah yang membuatkan aku mampu tersenyum. After all, aku percaya, bahawa akulah yang memilih untuk menjalani hidupku begini. Memilih untuk melalui detik-detik ini. Mungkin semasa aku terapung-apung di alam yang aku sudah lupa bila saja hadir di dunia ini, aku berfikir bahawa aku ini sakti. Mampu melalui kekecewaan seberat ini. Mampu menangani segala perit jerih hidup dan masih berdiri megah. Mampu untuk tidak merasa lemah dan kalah.
           Di alam yang tidak bertepi itu aku melihat hidupku dari perspektif yang berbeza. Di situ, disaat itu, kiraan detik waktu tidak sama. Mana mungkin aku tahu bahawa sedetik di alam itu begitu lama bila diukur dengan detik waktu dunia zahir ini! Mungkin semasa aku melihat kehidupanku semasa berada di alam itu, aku begitu bongkak dan percaya bahawa aku mampu menjalani hidup berjasad dengan segala dugaannya - dugaan yang aku sendiri pohon dari Dia.
          Dan Allah yang bersifat maha pengasih dan penyayang itu melepaskan aku ke dunia ini. Dia memberikan aku peluang merasa segala apa yang aku ingin rasakan. Dan Dia membekalkan aku dengan janjinya bahawa Dia senantiasa ada, setiap detik, untuk menolongku. Tidak akan membiarkanku terumbang ambing sendirian jika aku memerlukan bantuan. Aku hanya perlu meminta saja.......
          .....dengan peringatan ini...."Penciptaku tentu lebih tahu tentang diriku. Dan tentu tahu apa yang terbaik untukku. Dan tentu sekali tahu jika apa yang aku minta itu adalah apa yang aku amat perlukan pada saat itu. Dan cara Dia memberi aku apa yang aku pinta mungkin tidak dapat aku fahami. Tapi aku mesti yakin bahawa caraNya, waktuNya, pemberianNya pasti yang terbaik untukku."
          Aku akur dengan semua ini.
          Kerana janjiNya, dan penerimaanku, aku pun jadi sakti!

No comments:

Post a Comment